1 / 1 
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan tidak pernah memaksa mana-mana pelajar untuk mengikuti subjek Pendidikan Islam di sekolah.
Timbalan Menterinya, P Kamalanathan berkata, bagaimanapun kementerian akan menyiasat sekiranya terdapat laporan mengatakan demikian.

"Tiada pelajar yang dipaksa untuk mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam. Tapi saya berjanji kementerian akan siasat secara terperinci kalau benar ia berlaku.
"Laporannya akan kita beri dalam masa terdekat," katanya ketika menjawab soalan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Alor Setar) mengenai laporan pelajar bukan Islam sebuah sekolah di Sabah yang dipaksa memakai tudung dan solat, di sesi Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) mengenai soalan subjek Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 mengenai pilihan raya yang adil, Kamalanathan berkata, ia di luar bidang kuasa kementerian.

"Soalan SPM dikemukakan Lembaga Peperiksaan dan kita biasanya tidak dirujuk. Namun dari soalan itu kita memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan kemahiran berfikir yang tinggi.

"Kita ada pemarkah untuk menganalisa dan tiada jawapan yang betul atau salah. Sebaliknya kita boleh lihat cara pelajar melontarkan pendapat mereka," katanya.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan asal Hsiao-Leung mengenai rancangan kerajaan untuk menghapuskan ketaksuban kaum dan agama dalam kalangan anak muda, Kamalanathan berkata, kementerian akan memantapkan ko-kurikulum subjek Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral dan Sejarah.

"Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, telah dijelaskan pendidikan sivik tidak diajar sebagai subjek khusus. Tetapi diajar melalui subjek lain seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.

"Ko-kurikulum ketiga-tiga subjek ini akan dimantapkan mulai 2017 bagi mengukuhkan demokrasi dan menghapuskan ketaksuban terhadap kaum dan agama dalam kalangan anak muda," katanya.

Manakala, katanya, Mata Pelajaran Pengajian Umum atau MPU juga telah diperkenalkan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk meningkatkan  penguasaan kemahiran insaniah dan pengetahuan elemen Malaysia dalam kalangan penuntutnya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/pelajar-tidak-dipaksa-belajar-pendidikan-islam-1.335200